Polis Lancar Operasi Gerakan Besar-Besaran Cari Acap Sabtu Ini

Kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 yang hilang sejak 23 Mac lalu menimbulkan spekulasi dan teka-teki ramai sehingga kini.

Pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengesan mangsa dari pelbagai sudut tetapi semuanya menemui jalan buntu. Pelbagai konklusi terbaru timbul termasuklah beberapa kenyataan bahawa Acap sudah tidak berada lagi di Gopeng. Mangsa didakwa kini berada dalam keadaan selamat di Johor.

Namun, kenyataan itu kemudiannya ditepis oleh pihak polis yang mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau maklumat mengenai perkara berkenaan

Susulan itu, Polis Perak akan melancarkan gerakan secara besar-besaran sabtu ini dengan kekuatan 160 anggota termasuk pegawai bagi mencari Acap di lokasi kejadian.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, gerakan secara besar-besaran itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman dalam usaha untuk membantu mengesan kehilangan mangsa.

Malah, beliau berkata pencarian Mohammad Ashraf juga akan dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurut beliau, pencarian akan dilakukan di kawasan tiga kilometer dari garisan penamat kerana pihak polis percaya kemungkinan mangsa hilang dalam kawasan sebelum ke garisan penamat.

Polis Teruskan Usaha Cari Acap Pada Skala Kecil

Ipoh : Polis Perak tetap meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau lebih mesra dengan panggilan Acap yang hilang sejak seminggu lalu dalam skala yang kecil sahaja.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata operasi pencarian skala kecil itu akan dilakukan oleh polis tempatan dengan kerjasama pihak bomba dan penduduk tempatan.

“Kita telah melakukan pencarian di pelbagai tempat dan kita mendapati laluan trek aktiviti itu tidak berbahaya dan tidak akan membuatkan dia (Mohammad Asyraf) akan jatuh ke kawasan cerun bukit.

Kita telah merujuk kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan kita telah berpuas hati dengan operasi SAR yang dilakukan sejak Ahad lepas,” katanya.

Razarudin bercakap kepada sumber ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-12 Tahun 2019 Persatuan Veteran Vat 69 Komando di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung kes Mohammad Asyraf di bawah kes orang hilang.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Hasron Nazri Hashim berkata operasi SAR Mohammad Ashraf Hassan dihentikan sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari.

Beliau berkata Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di kawasan berkenaan akan diaktifkan semula sekiranya mendapat maklumat lanjut atau mendapat petunjuk baharu di tempat kejadian.

Mohammad Ashraf Hassan atau panggilan mesra Acap, dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi Sabtu dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 1.09 pagi, Ahad lepas.

Sumber : Bernama